LAWATAN YB EXCO PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN KE MAJLIS PERBANDARAN KULAI
Telah berlangsung lawatan Yang Berhormat Dato’ Haji
Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor ke Majlis Perbandaran Kulai yang disambut oleh Tuan Mohd Hafiz Bin Aliman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai. Lawatan ini bertujuan bagi melihat perancangan untuk pelaksanaan gerak kerja Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bagi tahun 2026 dalam memastikan projek dan gerak kerja memberi impak dan manfaat kepada masyarakat Kulai.
Beliau juga berkesempatan melihat Smart Command Centre Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), sebuah pusat kawalan pintar yang menjadi nadi kepada pemantauan keselamatan, trafik dan pengurusan bandar demi kesejahteraan rakyat Kulai. Sebanyak 300 unit CCTV dirancang untuk kawasan MPKu, dengan 202 unit telah berfungsi sepenuhnya, manakala baki pemasangan dilaksanakan secara berfasa sehingga tahun 2027.
Setiap unit CCTV ditempatkan di lokasi strategik termasuk persimpangan utama, kawasan tumpuan awam, institusi pendidikan, kawasan rekreasi dan laluan berisiko tinggi.
Melalui sistem CCTV berteknologi AI, Command Centre mampu memantau kesesakan trafik, mengesan kejadian luar biasa, membantu siasatan keselamatan serta mempercepatkan tindakan pasukan penguatkuasaan di lapangan.
Turut serta ke lawatan ini adalah Tuan Ts Haji Azmee Bin Awang, Setiuasaha Majlis Perbandaran Kulai; Encik Sufian Bin Suleiman, Ketua Penolong Setiausaha, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Bahagian Kerajaan Tempatan; Encik Mohd Fadil Bin Misnan, Ketua WHIP Majlis Perbandaran Kulai, Ahli-ahi Majlis dan ketua-ketua jabatan.